TITIPAN PERIBAHASA
Perumpamaan ialah salah satu daripada cabang peribahasa dan ia adalah peribahasa yang membawa maksud berlapis.
Perumpamaan juga diertikan sebagai susunan kata dalam ayat yang memberikan makna khusus dan berlainan daripada yang tersurat.
Perumpamaan berasal daripada bahasa kiasan kerana apabila hendak menyebut sesuatu perkara atau maksud, ia dikiaskan dengan perkara lain.
Perumpamaan terbahagi kepada dua jenis :
a. Perumpamaan yang menyebut perbandingan.
Contoh : Bagai anjing buruk kepala.
Ibarat bunga, sedap dipakai, layu dibuang.
b. Perumpamaan yang tidak menyebut perbandingan.
Contoh : Air yang tenang jangan disangka tidak ada buaya.
Luka sudah hilang, parut tinggal jua.
1.
Angkuh seperti merak.
- Suka menganggap diri sendiri lebih tinggi atau lebih baik dari yang lain.
Orang kaya itu tidak disenangi oleh jiran sekeliling kerana sikapnya yang angkuh seperti merak.
2.
Bagai air titik ke batu
- Sukar untuk memasukkan pengajaran yang baik kepada orang yang bertabiat buruk.
Pak Musa merasa begitu sukar untuk mendidik Yunus agar jangan bercakap bohong bagai air titik ke batu kerana dia terus dengan perangai lamanya itu.
3.
Bagai aur dengan tebing
- Dua pihak yang bekerjasama dengan erat.
- Sama maksud dengan perumpamaan ‘bagai dakwat dengan kertas.’
Tuk penghulu menyeru anak buahnya supaya sering bekerjasama bagai aur dengan tebing supaya semua kerja dapat dilakukan dengan mudah dan mereka sekampung dapat hidup harmoni.
4.
Bagai buluh ditarik songsang.
- Sukar menyelesaikan sesuatu pekerjaan jika tidak mengikut peraturannya.
Membuat sesuatu mestilah menurut peraturannya supaya pekerjaan tersebut tidak menjadi bagai buluh ditarik songsang.
5.
Bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing.
- Tidak sependapat atau memntingkan diri masing-masing
Semua penduduk kampung diseru supaya sentiasa sepakat dan tidak menjadi bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing.
6.
Bagai isi dengan kuku
- Persahabatan yang sangat erat
Persahabatan antara Haziq dan Firdaus sangat erat bagai isi dengan kuku.
7.
Bagai kucing kehilangan anak
- Perihal orang yang hilang akal dan kebingungan.
Pak Dungun bagai kucing kehilangan anak apabila melihat rumahnya sedang marak dijilat api.
8.
Bagai menarik rambut di dalam tepung.
- Mencari penyelesaian kepada sesuatu masaalah dengan sebaik-baiknya agar adil kepada semua pihak.
Sebagai seorang guru kelas, Cik Norsham begitu berhati-hati ketika meleraikan perselisihan faham antara anak muridnya itu, umpama menarik rambut dalam tepung.
9.
Bagai sirih pulang ke gagang
- Sesuatu yang kena pada tempatnya.
“Ah, bagai sirih pulang ke gagang, elok benar pasu bunga itu diletakkan di hadapan pintu ini untuk menarik pelanggan!” Kata Puan Mira kepada pembantu kedainya.
10.
Bagai pahat dengan penukul
- Orang yang melakukan sesuatu pekerjaan apabila disuruh sahaja.
Sikapnya yang bagai pahat dengan penukul itu menyebabkan majikannya enggan menaikkan gajinya.
11.
Laksana bunga dedap, sungguh merah berbau tidak.
- Orang yang memiliki kecantikan tetapi akhlaknya buruk.
Sungguhpun Sofia seorang gadis yang cantik, namun tidak ramai yang menyukainya kerana sikapnya yang buruk laksana bunga dedap, sungguh merah berbau tidak.
12.
Seperti ikan dalam belat.
- Keadaan yang terlalu sesak.
Rumah di kawasan setinggan di pinggir bandar itu sangat rapat antara sebuah rumah dengan sebuah rumah yang lain dan tidak selesa untuk diduduki seperti ikan dalam belat.
*************************************************************************************
Simpulan Bahasa merupakan ungkapan yang terdiri daripada dua perkataan atau lebih dan mempunyai makna yang tersirat.
Apabila sesuatu perkataan di dalam ungkapan tersebut dipisahkan, ia menjadi perkataan yang tersendiri dan hanya membawa makna asalnya. Sebaliknya apabila perkataan tersebut dirangkaikan dengan perkataan yang lain, maka maknanya akan berubah daripada makna perkataan asalnya tadi.
SIMPULAN BAHASA/MAKSUD
1.
Panjang akal
- Seseorang yang mempunyai daya fikir yang tinggi dan banyak idea.
Sang Kancil dimetoskan sebagai binatang yang panjang akal.
2.
Anak tempatan
- Penduduk asal atau anak negeri itu sendiri.
Khairin memang anak tempatan di tempat ini.
3.
Angkat kaki
- Meninggalkan sesuatu tempat dengan tergesa-gesa atau cabut lari.
Azmi angkat kaki apabila ternampak kelibat ayahnya kerana dia tidak sanggup dimarahi oleh ayahnya.
4.
Ayam tambatan
- Orang harapan dalam satu-satu pertandingan.
Azmi menjadi ayam tambatan dalam pasukan hoki sekolahnya kerana dia cekap menjaringkan gol.
5.
Batu loncatan
- Asas sebelum mendapatkan sesuatu yang lebih baik.
Pekerjaan sebagai pegawai pemasaran yang dilakukan oleh Ilman sekarang hanyalah sekadar batu loncatan untuk dia merebut lebih banyak kejayaan dalam bidang perniagaan.
6.
Berlindung di balik telunjuk
- Rahsia yang tidak dapat disembunyikan.
Perbuatan jahat Ramesh diketahui oleh orang ramai menyebabkan dia tidak boleh berlindung di sebalik telunjuk lagi.
7.
Bidan terjun
- Menggantikan tugas orang lain kerana orang yang sepatutnya bertugas tidak ada.
Budin tidak dapat mempengerusikan majlis itu dengan baik kerana dia sekadar bidan terjun bagi menggantikan pengerusi sedia ada yang sakit kepala secara tiba-tiba.
8.
Buah pena
- Hasil karya atau penulisan.
Buah pena hasil karya A. Samad Said telah banyak diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka kerana keunggulan karya beliau.
9.
Buku gaharu
- Orang yang menyembunyikan kepandaiannya.
Walaupun Amir dikenali sebagai seorang pelajar yang berat mulut di dalam kelasnya, tetapi dia sebenarnya buku gaharu dan ideanya selalu bernas.
10.
Bulat hati
- Azam atau cita-cita yang bersungguh-sungguh.
Fatimah sudah bulat hati untuk mengorbankan seluruh tenaga dan masanya bagi mendapatkan keputusan yang baik dalam peperiksaan PMR nanti.
11.
Cangkul angin
- Orang yang membuat kerja yang sia-sia.
Setiap petang abang dan rakan-rakannya akan duduk di tepi jalan, kerjanya bagai mencangkul angin.
12.
Dada tinggi daripada perut
- Orang yang sombong dan bongkak.
Walaupun Aminah seorang yang kaya dan pintar, namun dia tidak disukai oleh kawan-kawannya sikapnya yang dada tinggi daripada perut.
13.
Dapat terpijak
- Memperoleh sesuatu dengan cara yang mudah.
Kemenangan bagi pihak lawan seperti dapat terpijak kerana pasukan tuan rumah tidak ada benteng pertahanan yang kukuh.
14.
Ditarah biar licin
- Sesuatu perkara yang dilakukan hendaklah dibuat dengan sempurna.
‘ Selepas selesai memasak nanti, pastikan kamu mengemas dapur hingga bersih, buat kerja hendaklah ditarah biar licin” pesan ibu kepada kakak.
15.
Gagak pulang ke benua
- Seseorang yang telah lama pergi merantau atau berdagang, tetapi tidak membawa sebarang perubahan kepada dirinya apabila pulang ke negara asal.
Sudah bertahun-tahun Amirul pergi merantau, akhirnya dia pulang ke kampong tanpa sebarang perubahan, ibarat gagak pulang ke benua.